Ahad, 23 Julai 2023

Adam Aisya : Bab 1


 

Pagi yang hening tiba-tiba dicemari jerkahan seorang lelaki yang pernah dikasihi oleh wanita bernama Elira Aisya. Seorang lelaki yang sudah bergelar suaminya hampir tiga tahun, suami yang pernah dicintainya suatu ketika dulu kini tawar saja perasaannya. Suami yang pernah menjadi sumber kekuatannya untuk terus berada dalam rumah yang hampir kesemua isinya membenci Elira Aisya tanpa sebab yang dia sendiri tidak pasti kenapa.

“Kau keluar dari rumah ni, dan kau jangan balik lagi ke sini perempuan tak guna...!” tengking Airil. Nyaring suaranya sudah tidak lagi menakutkan Aisya. Dia sudah terbiasa, ditengking, di caci, di maki seisi rumah ini.

Beg lusuh yang dipenuhi kain baju dicampakkan tepat mengena lututnya, dia sudah mengagak tetapi tidak pula dia cuba mengelak. Entahlah, dia bertindak menerima segalanya asalkan dia bebas dari sini. Dia ingin pergi, pergi jauh dari sini meninggalkan segalanya yang pernah dianggap bahagia tetapi yang tinggal hanya derita yang tidak pernah berakhir.

Perempuan yang berusia lebih separuh abad di sisi Airil yang menjadi dalang utama itu hanya tersenyum sinis, mungkin menganggap dirinya sudah pun menang dalam pertarungan ini. Ya, anggapannya tidak salah, perempuan itu memang sudah menang dan berjaya meragut kasih suaminya. Eh salah, bekas suaminya. Juga meragut kebahagiaanya, yang tinggal kini hanya luka yang terlalu dalam.

Aisya berpaling melihat Airil dengan pandangan kosong. Kosong sekosong kosongnya. Tiada rasa, tiada air mata, tiada rayuan, tiada walau secebis kesedihan, yang ada adalah impian agar derita ini segera berlalu. Ya, dia nekad mahu dibebaskan kerana seksa sakit luka ini terlalu dalam menikam dan tertimbus disudut hati. Dia tidak mampu mengubatinya, kerana ubatnya hanya dia seorang saja yang sedayanya mencari. Akhirnya kebebasan yang diimpikan sudah berada di depan mata. Dia tahu dia perlu kuat melangkah dan akhirnya dia bangun setelah dapat kekuatan yang dijumpainya dalam diam. Cepat langkah geraknya mengelak, apabila ibu Airil cuba pula menolak kepalanya. Hai lah wanita tua, entah apa lagi yang masih kau inginkan setelah segalanya telah kau rampas. Kau patut berbangga. Kau menang.

Ibu Airil, Aminah dan Airil sendiri seperti termanggu. Terkejut barangkali akan tindak balasnya yang akhirnya memberontak. Aisya senyum sinis. Saja diberikan hadiah senyuman kali terakhir ini kepada bekas suami dan bekas mak mertuanya. Tetapi sinis sikit lah, ahh tak kuasa lagi dia mendungukan diri.

“Ish... Tak guna punya perempuan, sini kau...,” jerit Aminah sudah seperti terkena histeria. Airil yang terkejut mendengar jeritan ibunya bertindak segera memeluk pinggang ibunya. Dia sudah penat dengan semua ini, dia mahu berhenti. Semua ini sudah berakhir.

“Sudah la mak, biarkan dia... Kita dah tak ada hubungan lagi dah dengan dia...,” pujuk Airil lembut. Aisya menjauh. Riak mukanya sukar dibaca.

“Assalammualaikum...,” kata Aisya perlahan, dalam jerkahan suara bekas ibu mertuanya. Aisya beredar, tidak lagi dipandangnya ke belakang dengan tekat.

‘Selamat tinggal Elira Aisya, maafkan abang tidak dapat pulangkan awak dengan baik pada keluarga awak…’ bicara Airil dalam hati, sambil tangannya kuat memeluk ibunya untuk mencari kekuatan, kekuatan yang hilang bersama hilangnya bayangan wanita yang dicintainya.



p/s : Okay aku give up, akhirnya aku buka juga akaun wattpad... semoga dengan adanya akaun tu aku akan rajin menulis ya dan semoga seorang zulaikha berjaya habiskan karya 'Adam Aisya' sehingga ke penamat, sesungguhnya karya ini aku mula menulis pada tahun 2015 ya.... Siapa-siapa yang di sini mahu meneruskan untuk tahu sambungan cerita Adam Aisya, boleh cari @ZulaikhaSabri di Wattpad