Isnin, 6 November 2023

Adam Aisya : Bab 5



GELAP, sekelilingnya gelap gelita tanpa sekelumit cahaya. Aisya yakin kini matanya luas terbuka tetapi seperti dia masih lagi tidak membuka matanya. Terlalu gelap, hitam tanpa bayang-bayang. Satu sudut mindanya cuba menidakkan tetapi tempat ini terlalu banyak persamaanya. Aisya cuba bergerak ke sisi kiri mencari sedikit cahaya untuk dia bergantung harap tetapi tangannya sudah dapat merasa permukaan dinding yang sejuk dan berhabuk. Tangan kanannya pula mula digerakkan, dengan tergesa-gesa cuba menarik badannya ke sisi kanan berharap ada laluan ke arah cahaya yang dicari tetapi tidak berapa ketika, tangan kanannya sudah mencapai kesejukkan dinding. Tahulah Aisya ruang ini sangat kecil, cukup untuk memuatkan dua orang yang badan sebesar dirinya.

Aisya perlahan-lahan memeluk lututnya, mencari sumber kekuatan dalam diri walaupun badannya mula terasa kesejukkan yang terlampau. Ruangan kecil ini jelas terlalu sejuk untuk dia bertahan sehingga giginya mula mengeluarkan bunyi yang pelik akibat menggigil. Dadanya tiba-tiba terasa seperti terhimpap batu, sesak, sukar buat dia bernafas dengan betul. Beberapa kali dia cuba menarik nafas panjang supaya dadanya yang sesak beransur lega tetapi usahanya sia-sia. Aisya mula mendepakan tangan, kedua tangannya menyentuh permukaan dinding yang kesejukkan. Telapak kakinya juga dihalakan ke lantai. Dia cuba mengawal diri, mengawal perasaan takut yang ada. Dahinya tanpa sedar mula mengeluarkan peluh walaupun badannya kesejukkan. Ruangan kecil ini benar-benar melemaskan dirinya, Aisya menarik nafas lagi walaupun bau disekelilingnya kurang menyenangkan. Dia masih berusaha mengembalikan dirinya yang sebenar. Dalam kegelapan malam, tiba-tiba satu suara lelaki muncul menyedarkan Aisya. Menyedarkan Aisya dari ketakutannya. Menyelamatkan dia dari hasat dengki syaitan yang bertopengkan manusia.

"Aisya...Aisya..." panggil Amirul. Suaranya yang perlahan makin dikuatkan. Ya itu suara Amirul, abangnya. Pada abangnya, dia bergantung harap untuk menyelamatkan dia dari kegelapan ini. Dia takut, sangat takut.

"Aisya...bangun Aisya...," panggil Amirul lantang. Jarang dia mendengar abangnya menjerit namanya seperti itu. Suara Amirul kini semakin mendesak, seolah-olah Aisya yang sebenarnya dalam bahaya. Aisya masih mendiamkan diri, cuba memahami situasi sekarang, 'bangun?' Aisya tertanya-tanya.

"Aisya...," jerit Amirul lagi. Kali ini seperti merayu. Badannya terasa digoyang-goyangkan. Aisya terkejut, segera buka mata dan duduk di katilnya.

Nafasnya laju seperti baru lepas berlari cuba dikawal. Matanya terus terarah pada Amirul disisinya. Tubuh itu dipeluk, kemas seperti tidak mahu dilepaskan. Amirul hanya kaku, tidak membalas pelukkan adiknya. Masih cuba mencerna situasi di hadapannya. Tidak pernah Aisya memeluk dia seperti ini dengan wajah yang sepucat ini. Aisya menangis semahunya, dia takut. Dia takut untuk kembali dalam bilik gelap itu. Terhinggut-hinggut tubuh Aisya meluahkan rasa melalui tangisannya. Dengan perlahan Amirul mengusap belakang badan adiknya, dia mahu adiknya melepaskan perasaan yang sudah lama tersimpan kemas berseorangan. Betullah kata mak yang Aisya sering meracau dan menangis dalam tidur.

Lama mereka berkeadaan begitu, Aisya melepaskan tangisannya. Amirul masih kaku di tempat duduknya sehingga Aisya senyap sendiri. Entah kenapa keadaan mereka mengembalikan memori Amirul ke zaman mereka masih kecil. Begitulah mereka, seorang suka menangis dan seorang kaku tidak reti memujuk. Sudahnya dia hanya diam, menunggu adiknya senyap sendiri dan tertidur dalam pelukkannya. Ada air mata yang cuba ditahan. Sepanjang tiga tahun ketiadaannya, adiknya banyak menanggung derita sendiri.

Jam sudahpun menunjukkan pukul lapan, Amirul yang sedang memasak nasi goreng di dapur terkejut apabila Aisya muncul di hadapannya dengan wajah ceria. Entah kenapa Amirul tahu adiknya hanya buat-buat ceria, disebalik wajah yang disolek cantik, ada wajah pucat yang cuba diselindungi.

"Abang masak apa tu...? sedapnya bau...," tanya Aisya sambil tangannya mengangkat tudung salji di atas meja. Terhidang kuih karipap yang sudah siap digoreng, pasti abangnya menggoreng karipap sardin sejuk beku yang sekian lama tersimpan dalam petinya. Kalau diingatkan semula rasanya itu kuih ibunya kirim dari kampung semasa dia balik hari tu. Ibunya sejak pencen ini memang suka membuat kuih-muih sejuk beku memandangkan ayah mereka tidak gemar makan di luar.

Amirul yang sedang mengacau nasi gorengnya hanya mendiamkan diri, suara ceria adiknya langsung tidak diendahkan. Tiada senyuman mahupun jawapan kepada pertanyaan Aisya. Aisya tersenyum kecil. Dia tahu abangnya risau selepas melihat sendiri keadaan dirinya malam tadi. Dia tahu Amirul mahukan jawapan kepada pertanyaan dalam mindanya tapi dia sengaja buat-buat tidak tahu. Lantas dia berjalan mendekati rak dapurnya, tangannya mencapai kole di rak cawan untuk dibancuhkan teh tarik, mungkin air kegemaran abangnya ini dapat menyejuk hatinya yang marah. Amirul mengeluh. Setelah menghidangkan nasi goreng di atas meja, Amirul memjeling pada Aisya.

"Adik...," panggil Amirul, sambil tangannya menepuk kerusi di sebelahnya untuk mengajak adiknya makan bersama. Aisya tersenyum kecil, dia tahu banyak perkara yang menganggu fikiran abangnya sehingga menjadi pendiam sebegitu rupa. Seorang tidak tahu bagaimana memulakan cerita, seorang hanya menanti diri dihakimi penuh derita. Mereka berdua akhirnya bersarapan tanpa bicara beberapa ketika. Aisya berjalan perlahan, punggung nya dilabuhkan di kerusi sebelah abangnya.

"Abang ingat, abang nak duduk sini dulu," Amirul memulakan perbualan, Aisya tergamam. Dia menjeling abangnya, menanti dengan penuh sabar. Dia tahu abangnya bimbang apabila melihat sendiri keadaannya malam tadi.

"Semua bil abang tanggung termasuk barang dapur...," sambung Amirul lagi sambil mengangkat kening masih menanti persetujuan adiknya yang bertindak mendiamkan diri sedari tadi. Aisya melakar sesuatu atas meja, buat-buat tengah berfikir walau sebenarnya dia sudah ada jawapan lagi pula rumah abangnya masih dalam proses ubah suai, mana mungkin abangnya selesa untuk duduk di rumah sendiri.

"Ermm... cuma kereta saja abang pakai adik punya dulu, tapi don't worry abang jadi driver adik, ke mana adik nak pergi abang hantar...," Amirul menggaru kepala yang tidak gatal, diam Aisya kadang sukar dijangka. Maunya Aisya tidak membenarkan dia duduk di rumah ni, memang ke hotel lah tempat dia bermalam untuk beberapa bulan ni. Hotel? ke sewa rumah?, dia masih tidak memikirkannya lagi. Tapi sebolehnya dia mahu menyusahkan adik sendiri, apa guna ada adik. Amirul sudah gelak jahat dalam hati.

"Kalau banyak sangat duit abang tu, apa kata abang book saja hotel kan lebih selesa...," kata Aisya geram. Amirul sudah ketawa, bukan kerana lucu tapi kerana adiknya seolah sudah dapat meneka pilihan seterusnya yang ada.

Aisya menjeling, tahu la dapat elaun beribu pun lepas projek nya diluar negara itu berjaya, berbaloilah dengan tiga tahun lebih berjauhan dari keluarga. Aisya hanya mengeluh, tahu bahawa keputusan abangnya itu sukar untuk diubah tetapi dia tetap teragak-agak untuk bersetuju. Dia tidak kisah mengenai keretanya itu tapi peristiwa malam tadi benar-benar buat dia berfikir dengan kemungkinan yang ada. Selama ini, sedaya upaya dia berlagak biasa depan ahli keluarganya tapi dengan adanya Amirul di rumahnya bakal membongkarkan rahsia keadaan dirinya.

"Mengeluh Aisya tu tanda setuju...Yes!," sorak Amirul bersahaja, lebih kepada memberikan tanda noktah kepada perbincangan mereka. Aisya mengangkat kening.

"Sejak bila mengeluh tu tanda setuju ?," tanya Aisya dalam tawa, suka hati saja menetapkan maksud dalam tindak tanduknya. Dia tidak pernah kesah langsung Amirul akan duduk bersamanya, dalam keadaan sekarang ini dia akui dia memang memerlukan teman serumah. Amirul tiba-tiba berdiri.

"Mari kita memulakan perjalanan Tuan Puteri...," kata Amirul, saja mengajuk lakonan yang selalu ditontonnya di televisyen. Badannya ditundukkan sedikit tanda memberi hormat. Aisya mengetap bibir, geram melihat tingkah laku abangnya yang saja mengenakannya. Lantak lah, berbanding dengan orang luar dia lebih rela abangnya ada di sisinya. Tahu sakit perit diri melawan dan mengubati luka lalu yang ditinggalkan.



p/s : Adam Aisya already complete dekat wattpad... boleh baca dan bagi review ya, lepas ni aku akan kembali utk Sebahagian Aku pula yang membawa genre yang total opposite dengan Adam Aisya. Bila release aku tak tau, not to rush sebab tengah prepare material sebelum mula menulis. 

Macam biasa rangka dah ada, sesetengah bab dah pun ditulis tapi tu la tu, masih ada yang kurang hah!



 

Ahad, 29 Oktober 2023

Adam Aisya : Bab 4




 Aisya tersedar dari lenanya, dia menoleh ke kiri dan kanan cuba memastikan di manakah tubuhnya berada. Terkejut dia apabila menyedari kegelapan di
Tempat yang membuatkan seluruh anggota badannya mengigil ketakutan. Baunya, suasana sunyinya, kegelapannya. Aisya sangat kenal akan tempat ini. Tempat yang paling ditakutinya. Entah bagaimana dia sudah kembali ke stor yang sangat dia takuti. Peluh menghiasi dihadiri bersama getaran ditubuhnya. Sukar dia mengusir ketakutannya pada kegelapan. Tiada bunyi lain yang terhasil melainkan bunyi-bunyi yang dihasilkan sendiri oleh seluruh tubuh badannya. Dia cuba untuk menenangkan diri tapi rasanya seperti perjuangan yang tiada berkesudahan selagi dia tidak keluar dari sini. Dari bilik yang penuh dengan kegelapan ini.

Dalam kepayahan, Aisya cuba untuk duduk tetapi badannya seperti tidak berdaya, setiap inci tubuhnya terasa sengal-sengal dan perit. Tenaganya habis entah hilang ke mana.

"To..long...," Aisya cuba menjerit, tetapi yang keluar hanyalah angin. Tekaknya terasa sungguh perit. Air mata akhirnya menitis jua, setelah lama menahan. Dia takut, sangat takut.

"Abang... tolong Aisya abang...," rayu Aisya lagi, suara esak tangisnya tidak kedengaran, yang ada hanyalah angin. Mengharapkan seseorang datang membantunya. Hatinya sudah tidak tertahan lagi menanggung seksa yang diberi oleh wanita tua itu. Ya, dia seorang saja, syaitan yang bertopengkan manusia yang sanggup lakukan dia seperti ini.

"Abang... tolong Aisya abang...," rayu Aisya lagi, suaranya tertahan-tahan berselang seli dengan esakkan tangis. Suaranya kedengaran semakin lemah walaupun Aisya merasakan dia sudah menjerit sekuat mungkin.

"Aisya... Aisya...," panggil satu suara. Bermula dengan sayup-sayup suaranya, kini makin lama makin kuat dan hampir ke telinganya. Ada nada cemas dalam suaranya, Aisya merasa lega. Akhirnya, ada seseorang yang menyedari keberadaan dirinya disitu. Tanpa sedar bibirnya mengukir senyuman.

"Aisya...bangun Aisya...bangun...," suara yang memanggil dia kali ini kedengaran sangat cemas. Aisya diam, masih keliru 'siapa dia?' desis hati Aisya. Suara yang memanggil namanya ini kedengaran cemas dan terlalu dekat dengannya.

"Elira Aisya...!," jerit Hanis lantang, tangannya mengoncang-goncang badan Aisya dengan kuat. Aisya akhirnya membuka mata. Perit matanya menahan cahaya lampu bilik pejabatnya yang memancar.

Mengucap panjang Hanis melihat wajah Aisya yang pucat. Seorang lelaki yang sedang berdiri disebelahnya menarik perhatian.

"Abang...," tegur Aisya perlahan. Segera dia bangun dan menghulurkan tangan untuk bersalaman. Amirul menyambut salam Aisya. Mukanya masih bimbang.

"Abang buat apa kat sini?, Kak Hanis...?," Aisya memandang Amirul dan Hanis silih berganti. Amirul duduk di kerusi berhadapan dengan Aisya setelah dipastikan tiada apa-apa yang terjadi di bilik Aisya ini. Hanis yang duduk disebelahnya memegang bahu Aisya.

"Amirul call I, kata dia ada dekat depan butik ni and dengar you menjerit minta tolong. I terus datang sini ingatkan ada perompak pecah masuk butik dan apa-apakan you...," kata Hanis lalu mengeluh apabila sudah dipastikan pekerjanya yang seorang ini tiada apa-apa.

Tangannya lantas mencapai peha Aisya untuk menghadiahkan cubitan, sakit hatinya bila mengenangkan habis dilanggarnya lampu trafik untuk segera sampai ke butiknya ini. Nasib baiklah sekarang pukul dua pagi, kereta tidak banyak di jalan raya dan rumahnya tidak jauh, hanya perlu melintasi jalan besar saja. Amirul senyum tawar, dia masih berusaha menenangkan diri. Matanya sesekali di layangkan ke sekeliling pejabat masih dalam keadaan berhati-hati.

"Abang minta maaf sebab lambat, flight delay... sampai saja ke Malaysia, abang terus ke sini tapi tak sangka pulak nak kena terlibat dalam drama adik ni...," terang Amirul ringkas, Amirul mengeluh perlahan. Aisya kemudiannya teringat tentang mesej yang diterimanya pagi tadi dari Amirul menyatakan dia akan pulang ke Malaysia hari ini.

"Jangan kata adik sebenarnya tak ingat pun...,"Amirul meneka setelah melihat Aisya kelihatan kebingungan. Melihat Aisya senyum dengan teragak-agak, Amirul terus menampar bahu adiknya. Aisya terkejut seketika.

Aisya tiba-tiba ternampak satu cecair merah menitik-nitik, matanya mengikuti arah dari mana puncanya sebelum matanya membulat tidak percaya.

"Abang, darah!," jerit Aisya serentak memegang tangan abangnya yang telah dihiasi darah yang banyak. Amirul yang seperti baru terjaga dari fikirannya terus mengaduh sakit apabila tangannya yang luka disentuh. Segera dia mengalihkan tangannya dari pegangan Aisya.

"Abang buat apa ni sampai berdarah-darah, abang bertumbuk ke?," tanya Aisya kehairanan. Hanis pula dilihatnya telah hilang disebalik pintu dan tidak lama kemudian kembali dengan satu kotak peti kecemasan yang memang disimpan dibiliknya sendiri.

"A'ah, bertumbuk, bertumbuk dengan pintu grill dekat bawah tu. Ada ke patut dia nak pecahkan manga yang punya besar dekat bawah tu dengan tangan dia ni," rungut Hanis. Hanis kemudian membuka peti kecemasan dan kemudian membasuh luka pada tangan Amirul. Sesekali kedengaran suara kecil Amirul berdesis sakit.

"Aduh..., sakit la Nis... Kau ni dah jadi mak orang pun kasar tu tak hilang kan...arhhhhhhh...," Amirul tiba-tiba menjerit. Sambil mengetap bibir, kelihatan Hanis mengenggam luka di tangan Amirul dengan kuat.

"Padan muka kau, aku dah kata tunggu aku tak nak dengar. Kalau tangan tu ada kuasa Super Hero aku tak kisah sangat... ini cermin tu tak retak, tangan kau pula yang berlumuran darah," rungut Hanis. Geram yang ditahan sedari tadi kini diluahkan seperti lava gunung berapi yang meletus. 'Hah, kata jantan. Baru tekan sikit luka dah menjerit macam pondan. Nasib kau la, aku nak berhentikan darah ni dulu,' desis hati Hanis. Amirul mengengam penumbuk, cuba menahan pedih yang sudah menjalar hebat di tangannya.

"Nak buat macam mana, risau punya pasal, tak sedar," gumam Amirul perlahan sambil sesekali berdesis menahan pedih. Hanis menggeleng perlahan, masih tidak percaya dengan apa yang dilihat tadi. Aisya mengukir senyuman lucu, cuba melenyapkan bayangan mimpi yang masih menganggu fikirannya ketika ini.

"Ala la dia... kesiannya abang Mirul ni risaukan kita ya?," Aisya ketawa, cuba menceriakan hatinya dan mereka di hadapannya. Geli hatinya melihat perangai Hanis yang merungut seperti budak kecil. Hanis menarik muka masam. Separuh fikiran Aisya gembira dengan kepulangan abangnya tetapi separuh lagi cuba melenyapkan mimpi yang merupakan memori lama yang tidak pernah padam.

Amirul menjeling kearah Aisya. Kata-kata adiknya dalam tidur tadi sesekali menganggu fikirannya lagi.

Aisya mengambil kole besi yang sudah berisi serbuk teh yang telah direbus dahulu sehingga pekat warnanya lalu ditapis masuk ke dalam cawan mug kegemaran Amirul jika datang singgah ke rumahnya di Kuala Lumpur. Lalu di campurkan tiga sudu susu pekat dan dikacaunya sehingga sebati. Selepas berpuas hati dengan rasa teh tarik yang dibuat, Aisya berlalu ke ruang tamu untuk dihidangkan kepada abangnya yang sedang menunggu dengan sabar.

Amirul memang penggemar teh tarik, tetapi tidak suka minum di kedai mamak ataupun di kedai makan kerana rasanya yang kurang kena pada seleranya. Hari ini sudah genap dua bulan Amirul tidak balik ke Malaysia bermakna dua bulan jugalah abangnya ini berpuasa minum teh tarik. Padahal dia sangat gemarkan air itu. Tidak sedap lah, kurang susu lah, kurang kelat teh lah, semuanya kurang kena dengan seleranya. Aisya dan ibu mereka hanya ketawa saja apabila mendengar rangkaian alasan abangnya itu. Sudahnya, memang dia dan ibu merekalah yang selalu jadi mangsa untuk membuat teh tarik kegemarannya.

"Minum bang...," jemput Aisya setelah meletakkan minuman di atas meja di hadapan abangnya. Amirul tersenyum gembira apabila minuman kegemarannya sudah sedia terhidang di hadapan mata. Adiknya ini memang faham benar akan tabiat dia walau tanpa diminta. 'sedapnya bau teh..,' desis hati Amirul. Dua bulan di luar negara, membuatkan dia sangat menghargai air kegemaran dia ini.

"Ni bila abang nak balik ke kampung ni?" tanya Aisya setelah abangnya hanya membisu menghayati minuman dengan senyuman.

"Eh buat apa?, diorang kata nak datang ke sini esok jadi kita tunggu sajalah mereka sampai...," kata Amirul masih asyik menghayati minuman kegemarannya nya itu. Aisya mengangguk seketika. Dia sebenarnya sudah mengagak yang ibu bapanya akan datang ke sini sendiri kerana itu lah yang selalu mereka lakukan jika Amirul pulang ke Malaysia. Mahu datang melihat anak-anak katanya sambil berjalan-jalan di sekitar bandaraya Kuala Lumpur memandangkan abangnya ini sedang bercuti.

"Erm... abang ingat nak tidur rumah Aisya malam ni boleh?, renovation dekat umah abang baru siap, dan esok baru orang datang kemas...," tanya Amirul secara tiba-tiba membuatkan Aisya tersedar dari lamunan. Aisya tersenyum kecil.

"Bertuah sungguh abang aku sorang ni, semua bayar orang untuk buat. Macam la Aisya tak boleh nak tolong kemas-kemaskan rumah tu untuk abang," rungut Aisya. Amirul ketawa kecil.

"Abang malas nak susahkan Aisya, lagipun Hanis dah tolong uruskan semua sebelum abang balik," kata Amirul. Air di tangan kembali dihirup seteguk.

"Jadi, boleh tak?," tanya Amirul lagi minta persetujuan. Aisya tersenyum, pantas mengangguk bersetuju kerana dia juga perlukan teman di rumah, entah kenapa sejak dari peristiwa dulu dia tidak boleh duduk dalam gelap berseorangan. Sebelum ini, dia mempunyai pembantu rumah tetapi sudah berhenti bulan lepas kerana ingin pulang ke kampung.

"Duduk saja la abang, bilik pun ada kosong. Kalau abang nak pakai kereta, esok pagi abang hantar Aisya pergi butik dulu dan bila Aisya nak balik nanti Aisya call," kata Aisya. Amirul yang hanya tersengih, segera mengangguk terus bersetuju dengan cadangan adiknya yang memang sudah dia rangkakan dalam fikiran. Tidak sangka adiknya sudah usulkannya dahulu. 'Well, kata adik beradik kan,' desis hati Amirul.

"Kenapa ni?, apa yang abang fikirkan dari tadi?," tanya Aisya. Dia tahu ada perkara yang mengganggu fikiran abangnya ini. Amirul menarik nafas perlahan, sesungguhnya niatnya balik selain dari bercuti, dia punya niat lain. Niat untuk mengembalikan semangat dan keceriaan adiknya yang hilang dahulu.

"Abang ingat nak bawak Aisya, mak dan Abah pergi Umrah. Abah dan mak dah tahu dan mereka pun dah setuju...Aisya?," tanya Amirul. Dia mahukan persetujuan Aisya untuk pergi bersama kerana rancangan ini dibuat untuk adiknya ini. Supaya Aisya dapat menenangkan diri dan semoga ibadah umrah ini dapat kembalikan semangat Aisya.

Aisya terdiam seketika, rancangan yang diusulkan secara tiba-tiba ini sukar untuk dia menolak atau terima. Banyak perkara yang perlu dia fikirkan dahulu terutamanya adalah macam mana dia nak minta cuti lagi setelah baru sehari dia kembali bekerja dari bercuti panjang. Amirul memandang Aisya seketika, cuba meyakinkan adiknya ini.

"Aisya cuma perlu sediakan passport dan duit belanja Aisya saja di sana, yang lain semua abang tanggung...," kata Amirul memberi keyakinan. Dahi Aisya berkerut seribu.

"Betul ni?," tanya Aisya meminta kepastian. Suaranya kedengaran ragu-ragu. Dia sendiri maklum pakej Umrah untuk seorang bukannya murah harganya. 'Menarik..' desis hati Aisya.

"Pakej Umrah semua abang tanggung?," tanya Aisya sekali lagi. Amirul mengangguk dengan bersungguh-sunguh sambil tersenyum.

"Aisya cuma sediakan passport dan kelengkapan untuk pergi ke sana yang lain InsyaAllah abang akan settle kan...," kata Amirul memberi jaminan.

"Bila?," tanya Aisya ringkas. Kesungguhan abangnya tidak sampai hati pula untuk ditolak tepi, dan memang impiannya juga untuk pergi membuat Umrah dan Haji di Tanah Suci.

"Abang rancang bulan depan, supaya tidak tergesa-gesa sangat. Jadi kita ada masa sebulan untuk buat persediaan dan menghadiri kursus...," terang Amirul ringkas. Aisya tersenyum apabila sesuatu tiba-tiba melintas di fikirannya.

"Jadi sebab ini lah abang tiba-tiba balik awal...?," Aisya cuba meneka. Amirul ketawa kecil lalu mengelengkan kepala bagi menafikan telahan adiknya.

"Tak adalah, balik awal ni cuma kebetulan... kerja abang di Dubai habis dua minggu lebih awal...," kata Amirul. Aisya hanya mengangguk.

"Lepas abang puas jalan-jalan dekat sana baru abang balik sini...," kata Amirul tersenyum nakal.

"Ingatkan sampai Malaysia ada la orang meraikan kepulangan abang, sekali kena balik naik Grab da...tiada siapa yang sudi nak ambil di Airport...," sambung Amirul lalu mengeluh. Aisya ketawa kecil.

"Itulah...lain kali nak berjalan ajak mak dengan abah sekali...jangan nak berjalan seorang diri saja...paling kurang pun bawa Aisya ni ha, adik ada seorang ni pun nak berkira...," sengaja Aisya saja mahu mengenakan abangnya.

"Abang pergi Dubai tu bukan bercuti ya, ada kerja... abang cuma manfaatkan keluangan masa yang ada...," kata Amirul. Amirul memandang Aisya seperti menanti akan sesuatu.

"Jadi... macam mana?" tanya Amirul lagi membuatkan Aisya terpinga. Seketika kemudian, Amirul mencapai bantal kecil di tepinya dan dibaling pada Aisya. Tersentak Aisya apabila kepalanya dihadiahkan bantal, nasib bantal saja.

"Padan muka..., berangan lagi...orang tanya pasal Umrah ni...adik entah berangan ke mana...," rungut Amirul. Geram bila adiknya kini banyak sangat mengelamun, entah apa yang difikirkannya.

"Tak... Aisya tak tahu... nantilah Aisya tanya Kak Hanis dulu macam mana...," kata Aisya. Dia sebenarnya masih tak pasti jika dia berkelapangan untuk bersetuju. Di butik banyak kerja yang bertangguh akibat cutinya sebelum ini.

"Hanis dah tau, cuma tak tahu lagi adik setuju ke tidak lagi...," kata Amirul ringkas. Aisya hanya membisu, ternyata abangnya lagi pantas membuat rancangan daripadanya.


My Wattpad Stories

 Assalammualaikum, 

Aku tak tahulah masih ada ke orang yang sudi baca post di sini?, 

rasa macam sunyi ja 😅

Cuma aku saja ja la,

masih post di sini dengan anggapan positif yang masih ada yang membaca,

tak ada pun tak apa, 

biarkan aku bersama angan-angan aku😜

sebab blog ni macam kepingan memori hidup aku sedari usia 18 tahun?

tak silap la aku mula buka blog ni masa umur 18 tahun...😎

dan tiada satu post pun yang aku padam,

walaupun aku rasa macam...

'ehhh, kau dah kenapa post benda ni?, 

kenapa ayat kau macam ni?,

 malunya, kau dah kenapa oii'

eh ada kot satu, dua macam tu yang aku padam,

yang lain masih di sini,

dan sesekali aku akan baca bagi menggamit memori silam,

rindu woiii😭

Aku sekarang sedang usahakan untuk memberikan bab penamat pada tulisan-tulisan yang bertangguh,

banyak sebenarnya,

 ada lebih kurang 3 cerita? atau lebih?

dan semuanya tiada penamat,

tergantung, sepi bertahun-tahun...

sebab idea block.

Padahal aku ada ja sinopsis yang aku dah buat untuk tahu hujung pangkal cerita,

nota tentang watak dan perwatakkan,

tapi masih... begitu kesudahannya

Isu besar aku semenjak diploma dulu,

sehingga aku pernah isukan pada lecturer aku sendiri yang juga merupakan penulis novel,

tapi tu lah tu, masih tiada ubatnya. 

sehinggalah akhir tahun lepas aku pergi Umrah, 

entah mana datang ilhamnya, 

antara doa aku depan Kaabah ialah

aku nak siapkan NOVEL aku,

dan menulis di wattpad zuezue antara usaha aku untuk memberikan penamat pada setiap cerita,





(Still ongoing)


(teaser)


(forever ongoing😅)




walaupun reader nya suam-suam kuku, 

eh tak!, 

SEJUK terus reader dia😞

tapi tak apa, saya sejenis Redha😝

asalkan adalah usaha tu walaupun hasilnya, 

gitulah... 

dan aku letakkan di sini juga, tak semua bab tapi adalah sikit,

sebagai salah satu memori aku menulis,

kerana blog ni dah macam diari aku sedari aku belajar lagi,

kalau aku rindu zaman aku bebas menulis dulu,

 aku akan baca di sini,

sekarang aku menulis tidak sebebas dulu,

entah la,

selari dengan usia dan kematangan kot, 

uishhh, 

tua bebenor gayanya😂

tak... tak... saya masih muda belia,

cuma otak saja dah tua, 

gitulah kehidupan..



xxx_zuezue


Isnin, 11 September 2023

Adam Aisya : Bab 3

 


Berat kakinya melangkah tanpa tujuan. Badannya habis lenjun dilanda kesejukkan dibiarkan saja, dia sudah biasa menahan kesejukkan dan kelaparan bahkan pernah lagi teruk lagi. Beg pakaian yang sudah habis basah sepenuhnya hanya dipandang sepi. Mahu saja dia tinggalkan beg pakaian nya ini tetapi memandangkan dia tidak pasti akan nasibnya selepas ini, dia hanya memegangnya kemas. Entah apa yang ada dalamnya, dia pun tidak pasti. Bukannya dia yang mengemasnya tadi jadi dia tidak tahu. Jika hanya ada batu bata saja dia tidak peduli, setakat ini hanya itu sajalah harta yang dia ada. Langkah kakinya tiba-tiba berhenti, perlahan-lahan dia memandang ke langit yang sedang menangis itu. Dirasakan air hujan ini sudah membasahi setiap inci tubuhnya yang hanya dibaluti kurung dan tudung getah. Dalam hati tidak putus dia mengucapkan syukur. Lama rasanya dia tidak bau hujan, melihat hujan, mandi hujan seperti ini. Entah kenapa peluang ini dia sangat syukuri. Selama hampir tiga tahun, yang menjadi teman setianya adalah dinding gelap, sejuk dan sunyi. Ya, teman setianya walaupun dia membenci, membenci sepenuh hati akan dinding gelap itu.

            Aisya menutup mata, niat asalnya ingin menghilangkan rasa yang tiba-tiba menjengah. Entah kenapa sukar pula dia membuka matanya semula, badannya terasa melayang, berpusing dan tiba-tiba gelap.

            “Dik, dik bangun dik. Ya, Allah Aisya!,” jerit suara lelaki itu, dia panggil nama aku. Siapa dia?, suara ini macam pernah aku dengar, tapi bukan suara Airil kan?. Tidak, bukan Airil, dia pasti dan sangat pasti. Ada suatu kelegaan dalam hatinya. Tapi siapa dia? Badan Aisya terasa digoyang-goyangkan perlahan dan semakin lama semakin kuat. Tetapi Aisya tidak mampu lagi membuka matanya dan selepas itu Aisya langsung tidak sedarkan diri.

 

Aisya melihat fail yang tersusun rapi atas meja di biliknya, dia mengeluh. Jarinya dilalukan pada fail-fail yang sudah tersusun rapi. Satu, dua, tiga, Aisya mengeluh lagi tiba-tiba satu perasaan menyesal menyelubungi dirinya kerana mengambil cuti terlalu lama.

“Hai... Belum apa-apa lagi dah mengeluh...,” suara yang tiba-tiba menyapa dalam kesunyian berjaya mengejutkan Aisya daripada lamunan.

“Subbahanallah.... Kak...,” Aisya menarik nafas panjang, dihempaskan badannya ke atas kerusi empuk kepunyaannya.

“Sorry...,” kata Hanis perlahan, rasa bersalah menyelubungi apabila melihatkan reaksi Aisya begitu. Entah apalah yang difikirkan agaknya.

“Fuh... Nevermind... I am still alive...,” kata Aisya yang akhirnya menyanyikan lagu kumpulan korea, Bigbang yang bertajuk Still Alive dengan nada bergurau. Hanis muncungkan bibir.

“Not funny at all...,” keluh Hanis. Lantas beliau mendapatkan Aisya dan dipeluknya erat.

“I’am really miss you, how’s your holiday?,” tanya Hanis. Lalu dilepaskan pelukkan. Aisya ketawa kecil.

A few minutes ago, I think my holiday were great… tapi macam nak tarik balik perasaan tu...,” kata Aisya perlahan, dilalukan jari-jemarinya perlahan pada fail-fail yang tersusun rapi diatas meja. Terdengar keluhan perlahan dari mulutnya. Hanis hanya senyum.

“Kalau ikutkan, ni hanya separuh… ada separuh lagi akak dah cuba siapkan dengan Melur and Zikri… you should be thankful you know…,” kata Hanis sinis sambil mengenyitkan mata. Kening Aisya berkerut, cuba mempercayai apa yang baru saja menerjah ke telinganya, tetapi dia kembali senyum apabila mula memahami situasi sebenar.

I think I kena belanja diorang lunch hari ni…,” kata Aisya sambil tersenyum.

“Habis akak macam mana?,” tanya Hanis pantas. Dia masih tidak percaya, namanya tiada dalam senarai nama-nama yang bakal dibelanja makan oleh Aisya.

 ‘aih, mana aci macam ni, aku pun nak jugak,’ desis hati kecil Hanis sambil mukanya berkerut-kerut.

Aisya merenung tepat ke muka Hanis. Wajahnya hanya tenang dan tersenyum sinis. Aisya kemudian menjeling beberapa buah fail yang berada di tangan Hanis.

“Are you sure kak?, you yang tolong siapkan?,” tanya Aisya lagi untuk kepastian. Dia sudah ada jawapan, saja dia hanya menduga. Hanis di hadapannya tersenyum kecil sebelum menjawab.

“Okay, find! I just tolong double check for you…,” Hanis mengeluh, saja ditekankan perkataan ‘double check’ kepada Aisya.

Walaupun butik ini dimiliki olehnya, tetapi Aisya lah yang menguruskannya seratus peratus memandangkan dia mempunyai dua buah butik lain lagi untuk diuruskan di sekitar Kuala Lumpur. Dari hubungan senior dan junior kepada persahabatan mungkin kerana perbezaan umur mereka yang hanya tiga tahun. Mereka memang rapat sejak Hanis banyak membantu Aisya menyiapkan tesisnya.

But still… you kena check balik… akak cuma boleh buat keputusan segera untuk material design-design yang lepas, sebab ada record. Tapi latest design ni complicated sikit, no record at all so I tell them to wait for your confirmation first...,” terang Hanis serba sedikit. Aisya hanya mengangguk faham.

Okay, enough pasal kerja…,” Hanis mengeluh. Bercuti bukan main sampai dua minggu, tapi mata dah boleh berkawan dengan panda, gelap bukan main, buat kerja tambahan lain ke minah ni,. Geramnya dia sukar dibendung. Tapi memandangkan kesian pada sahabatnya ini yang kelihatan keletihan. Tidak jadi dia mengutuk berbakul-bakul. Sudah la dia yang dipersalahkan oleh ibubapa Aisya.

Hanis menjeling tajam. Dia tahu ada sesuatu yang dipendam oleh mata itu. Aisya mengigit bibir. Mata tajam Hanis mengambarkan segalanya, dia tahu dia bakal diserang. Aisya berundur sedikit, menyelesakan duduknya di atas kerusi miliknya. Seketika matanya memandang seketika ke arah pintu dan tetefon bimbitnya. Mengharapkan ada pertolongan yang bakal tiba. ‘1….2….3…..boommmm,’ gumam Aisya perlahan..

“You pergi bercuti di mana?, dua minggu pulak tu…I don’t think your parent know about thisYour mom called me a few days back, mintak I bagi you cuti sebab you dah lama tak cuti sampai tak ada masa nak balik ke kampung jenguk dia…,” Hanis mengangkat kening. Dia perlukan penjelasan lanjut dengan segera. Dua minggu dia bertahan, kali ini dia memang nekad dia perlukan jawapan.

“Dah la I pergi rumah you hari tu you tak buka pintu, I tau you dekat dalam sebab kereta you ada…,” rungut Hanis.

 Kerutan di dahi Aisya terlihat jelas, cuba mengingati seketika, bila Hanis datang ke rumahnya. Oh ada, dua hari yang lepas. Tapi ketika itu dia memang tidak boleh menerima sebarang tetamu terutama Hanis. Dia masih belum bersedia bertemu Hanis ketika itu. Jika Hanis melihat keadaannya dua hari lepas, Aisya dapat agak perempuan di hadapannya ini pasti akan menangis. Dengan demam panasnya, mata merahnya dan mata pandanya yang teruk. Aisya berani kerat jari, Hanis akan berkampung di rumahnya untuk beberapa hari.

I called you banyak kali, you tak angkat. I hampir saja nak call parent you nak bagitau perkara sebenar tapi I tahu, I tak nak make things worst. Nak call Amirul pun jauh…,” keluh Hanis. Suaranya hampir menangis tapi sedaya upaya dia menahan. Nasiblah walaupun dia majikan, dia kenal sikap Aisya yang tidak pernah membohongi sesiapa termasuk dirinya dan Aisya sangat sayangkan kerjayanya lebih dari dirinya sendiri. Hanis pasti Aisya ada sebab tersendiri.

Aisya hanya tersenyum pahit. Sukar buatnya menerangkan keadaan dirinya sejak kebelakangan ini.

Sorry kak…,” kata Aisya perlahan. Hanis mengeluh.

Please help me to understand Sya…,” pinta Hanis perlahan. Aisya hanya tersenyum. Sambil memeluk tubuh, wajah Hanis masih masam mencuka, membayangkan dia terpaksa berbohong demi persahabatannya dengan Aisya. Aisya tersengih.

Thanks…,” jawabnya sepatah, malas dia mahu menerangkan satu persatu kepada bosnya ini. Sekarang bukanlah masa yang sesuai, sepertinya dia perlu segera mula bagi menyiapkan kerja yang tertangguh. Hanis merenung Aisya tajam, masih menanti jawapan yang lengkap baginya. Aisya mengeluh,

“Satu malam di rumah I, dua malam di PD, dua malam lagi di Pulau Pinang, empat malam di Langkawi, satu malam di rumah mak dan selebihnya di rumah I…,” balas Aisya ringkas sambil tangannya dengan segera membuka fail-fail satu persatu, dilihatnya sepintas lalu bagi mendapat bayangan awal apa yang perlu disiapkan. Tetapi niat sebenarnya, dia hanya mahu buat-buat sibuk, semoga Hanis tidak bertanyakan lebih lanjut. Mata Hanis membulat tidak percaya.

“Wow, I ingat you cuma bergurau…,” terlopong Hanis membayangkan Aisya hanya pergi berseorangan. Aisya tersenyum. Aisya kemudian mengambil satu beg kertas yang diletakkan di sebelah beg tangannya tadi. Ada dua buah beg kertas lagi untuk rakan-rakannya yang lain.

No, I am notby the way nah, this is for you…” Aisya menghulurkan sebuah beg kertas yang isinya penuh dengan coklat kesukaan bosnya seorang ini. Hanis tersenyum.

“Pandai you nak ambil hati I kan…,” rungut Hanis dalam senyuman. Terubat hatinya bila dapat buah tangan dari sahabat baiknya ini. Aisya ketawa kecil.

“Tak, I nak bagi you tenaga balik. Penatkan tadi sesi meluah perasaan lepas kena tinggal?,” tanya Aisya, keningnya diangkat beberapa kali. Aisya tersenyum nakal. Hanis memandangnya tajam.

“I baru tinggal dua minggu, Kak Nis dah jadi ribut taufan dah. Macam mana la nanti kalau I tinggal Kak Nis terus haihh…,” rungut Aisya sambil mengelengkan kepala. Saja Aisya mahu mengenakan Hanis kerana buat masa sekarang dia masih tiada niat mahu meninggalkan butik rakan baik abangnya ini.

Hanis mengigit bibir, ‘Ni ada yang kena baling atas bumbung ni karang…,’ desis Hanis, jelingan tajam dihadiahkan kepada adik rakan baiknya yang sudah dianggap seperti adiknya sendiri. Aisya ketawa kecil, dia cukup tahu dialog apa yang bermain dalam minda Hanis. ‘nak baling orang la tu, cuba la kalau berani..,’ desis hati Aisya sambil kedua keningnya saja diangkat-angkat berulang kali, mengusik. Hanis memandang wajah Aisya seketika, pandangan tajam dia kini berubah lembut.

Melihat renungan Hanis, Aisya segera memalingkan pandangan. Haih, dia kalah dengan pandangan mata itu, mata yang mengerti segala yang dia mahu sembunyikan. Mata yang tahu dia sembunyikan sesuatu tetapi bertindak memahami jika dia terus sembunyikan segala yang ada dalam fikirannya. Aisya saja buat-buat tidak nampak, diambilnya fail kerjanya dan dilihat satu persatu. Hanis mengeluh seketika.

“Akak ingat lepas cuti, muka you kembali ceria tapi makin pucat akak tengok…,” Hanis mengeluh. Aisya tersenyum pahit, tahulah dia segala usaha dia tadi untuk makeup mukanya supaya tidak nampak tidak terlalu pucat itu tidak menjadi.

“Cuti buatkan mimpi buruk I kembali menganggu setiap malam…,” kata Aisya jujur, tiada apa yang boleh disembunyikan jika dengan Hanis. Seperti biasa tiada reaksi yang ketara di mukanya yang pucat itu.

Hanis mengeluh. Inilah perkara yang dirisaukan bila Aisya datang kepadanya tiga minggu yang lepas ingin meminta persetujuannya untuk memohon cuti. Dia berat hati ingin bersetuju. Tapi melihat Aisya yang terlalu beria membuat rancangan, dia hanya bersetuju, memandangkan Aisya sangat jarang meminta cuti terlalu lama seperti itu.

You mimpi you dalam bilik gelap lagi ke Sya?,” tanya Hanis. Aisya didekati dan bahunya diusap perlahan, memberi sedikit kekuatan. Aisya melihatnya hanya tersenyum, perlahan kepalanya menggeleng.

“Tak kak, kali ini Aisya mimpi Aisya mandi hujan, Aisya seronok sangat kak. Tapi kemudian Aisya pengsan, Aisya dengar suara lelaki. Cara dia panggil Aisya, dia macam kenal siapa Aisya,” Aisya bercerita perlahan. Berkerut dahinya mengingati mimpinya. Hanis memegang bahu Aisya kejap. Tahulah Hanis mimpi Aisya dulu kembali lagi, mimpi yang dia tidak mahu ingat dan seluruh keluarga Aisya tidak mahu wanita itu mengingatinya.

“Amirul kut,” teka Hanis. Aisya menggeleng, dia pasti itu bukan suara Amirul. Jika suara Amirul, dia pasti kenal.

“Aisya mimpi saja tu, tiada apa-apa lah,” Hanis cuba memujuk bagi menenangkan wanita dihadapannya. Aisya senyum lemah.

“Entah la kak, mimpi tu terlalu jelas. Seolah-olah betul-betul terjadi,” kata Aisya perlahan. Hanis terdiam seketika, tangannya mengusap bahu Aisya perlahan seolah-olah memikirkan sesuatu.

“Tak apa Sya, Aisya jangan fikir sangat ya. Mimpi tu mainan tidur, sekurang-kurangnya Aisya dah tak mimpikan bilik gelap tu kan?” Hanis cuba memujuk. Aisya mengangguk, bersetuju. Sekurang-kurangnya dia tidak mimpikan lagi bilik gelap itu. Arhh, bilik gelap itu tidak sudah-sudah menghantuinya walaupun sudah bertahun-tahun ianya ditinggalkan. Hanis memikirkan sesuatu, lama dia termenung sebelum memberi cadangan.

“Jom, malam ni tidur rumah akak, Hubby akak tak ada seminggu. Ada kerja di Sabah,” Hanis memberi tawaran dan sangat berharap tawarannya diterima. Aisya tertawa kecil.

Thanks but no thanks… Memandangkan banyak kerja yang tertangguh jadi ingat nak tidur di butik akak yang cantik ni saja,” Aisya memandang Hanis sambil tersengih seperti kerang busuk. Walaupun dia tahu dia tak perlu meminta izin kerana Hanis memang sedia maklum butik ini sudah menjadi seperti rumah keduanya.

 I nak siapkan apa yang patut… Next week, I ada date dengan tailor for our new collections…jadi banyak benda I nak kena check balik…,” kata Aisya tenang, mukanya hanya membeku tanpa perasaan. Tangan Aisya kembali menyemak fail-fail yang ada di hadapannya. Hanis mengeluh.

Okay, kalau macam tu I akan mintak Melur temankan you dekat sini. My twins need me at home. Kalau I bawak diorang ke sini, bukan saja you tak boleh siapkan kerja you, silap-silap dengan butik ni terbalik dikerjakan mereka,” kata Hanis. Giginya diketap geram bila mengenangkan anak-anaknya yang terlalu aktif sehingga kadang-kadang habis kesabaran.

Aisya ketawa kecil, teringatkan si kembar Hafiz dan Haris yang aktif ke sana ke mari jika Hanis membawa mereka ke Butik. Bulan lepas, baru saja Aisya mendengar Melur merungut kerana dua buah ampaian baju jatuh dan habis berselerak semua baju. Walaupun mereka lega kerana tiada apa yang berlaku kepada anak-anak bos mereka itu, tapi hasilnya baju-baju yang jatuh terpaksa di susun dan di strika semula. Hanis seorang yang sangat cerewet bila menyentuh mengenai baju-baju di butiknya. Aisya tiba-tiba teringat sesuatu.

“Oh… tak payah lah susahkan Melur, biar saja dia berehat di rumah dia. I dengar dah dua malam dia dan Kak Tas tak tidur…,” pinta Aisya. Dia tidak mahu menambah beban pada Melur dan Kak Tasneem untuk menemaninya di butik. Hanis mengerutkan dahi.

Are you sure?” tanya Hanis pinta kepastian. Aisya mengangguk sambil tersenyum kerana dia sudah biasa tidur di pejabat miliknya di tingkat atas butik ini bersendirian. Hanis mengangguk.

“by the way, you tak buang lagi kan tilam favorite I dekat bilik rehat tu?,” tanya Aisya, meminta kepastian. Saja lah dia bertanya, mana lah tahu dengan ketidakhadiran nya selama dua minggu ini mengubah apa-apa yang ada di butik ini. Bos dia ini bukannya boleh percaya sangat jika dah terlebih emosi. Hanis mengangkat kening, terkejut.

What? kenapa pula I nak buang SOFA mahal I tu…,” tanya Hanis tidak percaya, saja ditekankan perkataan sofa. ‘ada ke sofa kulit aku tu dia kata tilam?. Ingat aku dah buang pula tu, mahal tu…,’ rungut Hanis dalam hati. Aisya ketawa.

“Mana lah tahu, you geram dengan I. You pergi buang tilam empuk kesayangan I tu. You ni bukan boleh aci, kalau dah mengamuk, apa pun boleh jadi…,” sempat Aisya berkata perlahan sebelum dihadiahkan jelingan maut Hanis.

 “Okay lah kalau macam tu, call me if you need anythings okay…” kata Hanis memberikan persetujuan. Hanis kemudiannya beredar kembali ke pejabatnya di sebelah bilik Aisya.



p/s : Di wattpad sudah release sehingga Bab 16, siapa sudi boleh cari di sana ya

Khamis, 7 September 2023

Adam Aisya : Bab 2

 



Suara jeritan Aisya tiba-tiba memecah kesunyian malam di dalam rumah Sulaiman dan Saleha. Mereka yang terkejut terus bangkit dan berlari ke bilik Aisya dengan tergesa-gesa, bimbang akan keadaan anaknya yang mungkin dalam kesusahan atau kesakitan. Melihat Aisya yang masih menutup mata dan telah mengeluarkan kata-kata yang tidak pasti butir bicaranya.

"Aisya bangun... bangun nak...Aisya mengigau ni...," Saleha memanggil Aisya sedikit kuat lantas digerakkan bahu Aisya supaya anaknya itu sedar dari mimpi yang menganggu tidur. Tidak sampai beberapa minit Aisya terjaga.

"Astarfirullah Hal Azim...," mengucap panjang Aisya seketika lalu menarik nafas. Diusap mukanya berkali-kali supaya ingatan pada mimpi ngerinya tadi hilang. Dipandang muka kedua orang tuanya yang sedang gusar, Aisya mula tertanya-tanya.

"Kenapa mak dan abah ada kat sini...?," tanya Aisya. Sulaiman mengeluh perlahan, risau hatinya semakin memuncak.

"Kamu mimpi tadi... menjerit. Abah ingat kamu kena sampuk dah tadi...," rungut Sulaiman yang kemudian mengurut-urut dadanya. Dia duduk di tepi katil Aisya. Lemah kakinya kerana sudah lama dia tidak berlari sekuat ini. Aisya meraut muka, dalam hati masih memujuk diri sendiri, apa yang dilalui tadi hanya mimpi masa lampau yang dia sangat takuti.

"Kamu mimpi apa Aisya?, risau mak dibuatnya... mak ingatkan mimpi buruk kamu ni dah baik...," Saleha mengusap belakang badan satu-satunya anak perempuannya ini. Air matanya hampir menitis tapi cuba ditahannya, dia risau tetapi dia tidak mahu merunsingkan lagi fikiran anaknya ini yang sudah menanggung pelbagai duka yang tidak dapat diungkapkan. Walaupun dadanya masih tidak mahu reda, Aisya cuba mengukir senyuman untuk menghakis rasa risau di hati ibu bapanya ini.

"Tak ada apalah mak, mungkin Aisya penat sangat kot siang tadi... buat mak dan abah risau ja...," perlahan suara Aisya, cuba diukirkan senyuman sambil mengusap tangan ibunya. Aisya kembali tidur tanpa memperdulikan ibu bapa lagi.

Saleha memandang Sulaiman seketika, fikirannya diluahkan melalui pandangan mata itu. Dalam diam Sulaiman menggeleng penuh gundah, sesekali dengar keluhan mula keluar dari mulut tua itu. Sikap anaknya ini mula merisaukan mereka suami isteri. Sulaiman menarik selimut menutupi tubuh satu-satu anak perempuannya itu lalu dengan perlahan bangun untuk keluar daripada bilik. Sempat bahu isterinya diusap perlahan, cuba menenangkan hati isterinya walaupun diri sendiri ternyata risau bukan kepalang. Seketika kemudian Saleha juga beransur meninggalkan Aisya.

Setelah mendengar tapak kaki ibu bapanya makin menjauh, Aisya membuka mata. Mimpi tadi terlalu nyata hingga tubuhnya masih menggigil apabila teringat akannya. Air mata yang sebolehnya ditahan untuk tumpah dihadapan ibubapanya akhirnya menitis tanpa dapat dikawal lagi. Sukar untuk dia lari dari kenangan itu, kenangan yang telah mematikan separuh jiwanya yang dulu. Perlahan Aisya berzikir dalam hati, mengharap kesedihan ini dapat disembunyikan di pagi hari nanti, dia tidak mahu ibubapanya menjadi saksi kesedihan ini.

Usai saja solat subuh, Aisya keluar dari biliknya ke dapur. Bau nasi lemak kukus air tangan ibunya menghiasi seluruh rumah menyebabkan dia segera lapar. Dia tersenyum, tidak sabar dia ingin menjamah nasi lemak kukus air tangan ibunya. Aisya melihat ke dalam tudung saji, bibirnya tersenyum akan kehebatan ibunya menyediakan sarapan pagi yang pelbagai. Saleha memandang Aisya.

"Hah... bangun dah, mak ingat kamu nak sambung tidur balik. Tak ada lah mak nak kejut kamu...," kata Saleha, tangannya masih menyiapkan bancuhan air kopi buat suaminya. Aisya hanya senyum.

"Mak jugak yang bising karang kalau Aisya bangun lambat...," kata Aisya bersahaja. Saleha menjeling pada anak perempuannya itu. Aisya hanya tersenyum sambil kakinya melangkah mengambil pinggan di rak. Ayahnya pasti akan pulang ke rumah tak lama lagi dari masjid.

"Mak tak sampai hati nak kejut kamu bangun awal, kamu nampak penat sangat. Banyak sangat ke kerja kamu sampai habis cengkung muka anak mak ni?," tanya Saleha, ada kegusaran dalam hatinya.

"Tak ada la mak, biasa ja...," kata Aisya bersahaja. Saleha merenung muka anaknya, pelbagai perasaan yang tersimpan mahu diluahkan tetapi dia tidak tahu bagaimana. Walaupun tidak melihat, Aisya tau ibunya sedang merenungnya. Aisya saja tidak melihat kembali kerana tahu apa yang ada di fikiran wanita itu.

"Cakap saja la mak, apa yang mak fikirkan, tak payah nak main tenung-tenung muka Aisya ni...dah macam nak tembus dah muka Aisya ni mak tenung...," kata Aisya bersahaja. Tangannya berhati-hati menuangkan air di setiap cawan yang ada di atas meja.

"Dah dekat tiga tahun dah kau menjanda Aisya... Kau tak nak kahwin?" tanya Saleha lembut, ada kerisauan dalam nada suaranya.

Aisya yang sedang mengunyah kuih hanya melihat kuih yang dipegang. Tiada reaksi di wajahnya, hanya pandangan kosong yang dihalakan pada kuih yang dipegang.

"haih... Budak ni.... Mak tanya ni, boleh dipandang nya kuih tu saja...," mengeluh Saleha akan anaknya. Aisya tersenyum.

"Entah lah mak, sapa lah yang nak kan janda macam Aisya ni mak...," bicara Aisya perlahan. Saleha membuat muka muncung. Aisya cuba menahan tawa. Tiba-tiba suara ketawa Sulaiman menghiasi ruang dapur itu mengejutkan Aisya dan Saleha, geli hatinya bila mendengar jawapan yang sama disediakan anak perempuannya ini setiap kali isterinya bertanyakan perihal berumah tangga. Yang peliknya, jawapan itu tidak pernah berubah dari anak dara, sehingga kini sudah bergelar janda, cuma gelaran diri saja yang berubah.

"Apa kata kamu rekod saja jawapan kamu tu Aisya, hantarkan pada telifon mak kamu tu... Biar dia dengar hari-hari, ayah pun tak payah la nak jawab bagi pihak kamu...," Sampuk Sulaiman, ayah Aisya dari pintu belakang.

Perlahan langkahnya diatur duduk di kerusi kosong sebelah Aisya. Senyum nakal diukir buat Saleha. Aisya ketawa kecil dan disambut Sulaiman. Suka benar dua beranak ini mengenakan Saleha. Saleha menjeling keduanya, lagi membuatkan kedua beranak itu ketawa besar.

"Ish... Dua beranak ni la...," rungut Saleha perlahan. Mukanya mencuka.

"Biarkan aja lah Aisya ni Leha... Dia sudah besar panjang, pelajaran pun ada, kerja pun Alhamdulillah sudah ada... Pandai la dia jaga diri...ada jodoh tak payah ditanya, kahwin la dia...," bebel Sulaiman panjang lebar setelah berjaya ditelan gelak tawanya tadi.

"Saya ni bukan apa bang... Dah banyak orang mengata, kata anak kita ni bukan-bukan, anak bujang banyak yang datang meminang semua ditolaknya dah tu menuduh anak kita inginkan suami mereka pulak...," rungut Saleha. Sakit hatinya mendengar orang-orang kampung mengata Aisya di depannya secara terang-terangan tanpa rasa bersalah.

"Ala mak... Esok Aisya nak balik dah... Diam la mereka mak...," kata Aisya dengan senyuman.

Dia sudah masak dengan perangai orang kampung yang suka mengata perihal dirinya apabila nampak dia pulang ke kampung. Dituduhnya ingin merampas suami orang sedangkan dia balik ke kampung untuk merehatkan minda dari kesibukan kota dan melepaskan rindu dengan kedua orang tuanya. Membutang mata Saleha memandang anak perempuannya itu.

"Eh... Nak balik dah esok?, cepatnya...," rungut Saleha, muncungnya kembali terbit tanpa dipaksa.

"Lah... Mak juga yang kata tadi tak larat nak dengar orang kampung mengata Aisya kan?, jadi Aisya kena balik KL la supaya mak boleh rehatkan telinga mak dari dengar orang kampung ni mengata...," kata Aisya lembut, saja ingin menguji emaknya. Berubah reaksi muka Saleha. Sedih pula hati Aisya melihat ibunya yang seperti serba salah.

"Tak adalah mak, Aisya gurau saja. Mak ni...," dipeluk pingang Saleha lembut, tiada niat untuk dia terasa dengan mak dia yang satu ini.

"Aisya kena balik mak, Aisya bukannya boleh ambil cuti lama-lama sekarang. Banyak kerja tertangguh nanti..," tiba-tiba telifon bimbit Aisya berdering membuatkan Aisya berhenti memujuk ibunya. Telifon bimbitnya dipandang tenang, kemudian dia tersenyum seketika.

'Baru ja bercakap, bos dah telifon..,' desis hati Aisya. Saleha memandang-mandang ke arah telifon bimbit Aisya yang berbunyi. Dirinya dalam diam tertanya-tanya siapa yang menghubungi anaknya itu.

"Tu sapa yang telifon tu?," tanya Saleha, ada curiga dalam nada suaranya. Aisya hanya tersenyum.

"Kak Hanis...," jawab Aisya perlahan. Aisya kemudian beredar masuk ke biliknya, membiarkan Saleha termanggu sendirian.



p/s : Di wattpad dah sampai bab 12, siapa yang sudi sila2 menjengah ke wattpad saya ya...