Ahad, 29 Oktober 2023

Adam Aisya : Bab 4




 Aisya tersedar dari lenanya, dia menoleh ke kiri dan kanan cuba memastikan di manakah tubuhnya berada. Terkejut dia apabila menyedari kegelapan di
Tempat yang membuatkan seluruh anggota badannya mengigil ketakutan. Baunya, suasana sunyinya, kegelapannya. Aisya sangat kenal akan tempat ini. Tempat yang paling ditakutinya. Entah bagaimana dia sudah kembali ke stor yang sangat dia takuti. Peluh menghiasi dihadiri bersama getaran ditubuhnya. Sukar dia mengusir ketakutannya pada kegelapan. Tiada bunyi lain yang terhasil melainkan bunyi-bunyi yang dihasilkan sendiri oleh seluruh tubuh badannya. Dia cuba untuk menenangkan diri tapi rasanya seperti perjuangan yang tiada berkesudahan selagi dia tidak keluar dari sini. Dari bilik yang penuh dengan kegelapan ini.

Dalam kepayahan, Aisya cuba untuk duduk tetapi badannya seperti tidak berdaya, setiap inci tubuhnya terasa sengal-sengal dan perit. Tenaganya habis entah hilang ke mana.

"To..long...," Aisya cuba menjerit, tetapi yang keluar hanyalah angin. Tekaknya terasa sungguh perit. Air mata akhirnya menitis jua, setelah lama menahan. Dia takut, sangat takut.

"Abang... tolong Aisya abang...," rayu Aisya lagi, suara esak tangisnya tidak kedengaran, yang ada hanyalah angin. Mengharapkan seseorang datang membantunya. Hatinya sudah tidak tertahan lagi menanggung seksa yang diberi oleh wanita tua itu. Ya, dia seorang saja, syaitan yang bertopengkan manusia yang sanggup lakukan dia seperti ini.

"Abang... tolong Aisya abang...," rayu Aisya lagi, suaranya tertahan-tahan berselang seli dengan esakkan tangis. Suaranya kedengaran semakin lemah walaupun Aisya merasakan dia sudah menjerit sekuat mungkin.

"Aisya... Aisya...," panggil satu suara. Bermula dengan sayup-sayup suaranya, kini makin lama makin kuat dan hampir ke telinganya. Ada nada cemas dalam suaranya, Aisya merasa lega. Akhirnya, ada seseorang yang menyedari keberadaan dirinya disitu. Tanpa sedar bibirnya mengukir senyuman.

"Aisya...bangun Aisya...bangun...," suara yang memanggil dia kali ini kedengaran sangat cemas. Aisya diam, masih keliru 'siapa dia?' desis hati Aisya. Suara yang memanggil namanya ini kedengaran cemas dan terlalu dekat dengannya.

"Elira Aisya...!," jerit Hanis lantang, tangannya mengoncang-goncang badan Aisya dengan kuat. Aisya akhirnya membuka mata. Perit matanya menahan cahaya lampu bilik pejabatnya yang memancar.

Mengucap panjang Hanis melihat wajah Aisya yang pucat. Seorang lelaki yang sedang berdiri disebelahnya menarik perhatian.

"Abang...," tegur Aisya perlahan. Segera dia bangun dan menghulurkan tangan untuk bersalaman. Amirul menyambut salam Aisya. Mukanya masih bimbang.

"Abang buat apa kat sini?, Kak Hanis...?," Aisya memandang Amirul dan Hanis silih berganti. Amirul duduk di kerusi berhadapan dengan Aisya setelah dipastikan tiada apa-apa yang terjadi di bilik Aisya ini. Hanis yang duduk disebelahnya memegang bahu Aisya.

"Amirul call I, kata dia ada dekat depan butik ni and dengar you menjerit minta tolong. I terus datang sini ingatkan ada perompak pecah masuk butik dan apa-apakan you...," kata Hanis lalu mengeluh apabila sudah dipastikan pekerjanya yang seorang ini tiada apa-apa.

Tangannya lantas mencapai peha Aisya untuk menghadiahkan cubitan, sakit hatinya bila mengenangkan habis dilanggarnya lampu trafik untuk segera sampai ke butiknya ini. Nasib baiklah sekarang pukul dua pagi, kereta tidak banyak di jalan raya dan rumahnya tidak jauh, hanya perlu melintasi jalan besar saja. Amirul senyum tawar, dia masih berusaha menenangkan diri. Matanya sesekali di layangkan ke sekeliling pejabat masih dalam keadaan berhati-hati.

"Abang minta maaf sebab lambat, flight delay... sampai saja ke Malaysia, abang terus ke sini tapi tak sangka pulak nak kena terlibat dalam drama adik ni...," terang Amirul ringkas, Amirul mengeluh perlahan. Aisya kemudiannya teringat tentang mesej yang diterimanya pagi tadi dari Amirul menyatakan dia akan pulang ke Malaysia hari ini.

"Jangan kata adik sebenarnya tak ingat pun...,"Amirul meneka setelah melihat Aisya kelihatan kebingungan. Melihat Aisya senyum dengan teragak-agak, Amirul terus menampar bahu adiknya. Aisya terkejut seketika.

Aisya tiba-tiba ternampak satu cecair merah menitik-nitik, matanya mengikuti arah dari mana puncanya sebelum matanya membulat tidak percaya.

"Abang, darah!," jerit Aisya serentak memegang tangan abangnya yang telah dihiasi darah yang banyak. Amirul yang seperti baru terjaga dari fikirannya terus mengaduh sakit apabila tangannya yang luka disentuh. Segera dia mengalihkan tangannya dari pegangan Aisya.

"Abang buat apa ni sampai berdarah-darah, abang bertumbuk ke?," tanya Aisya kehairanan. Hanis pula dilihatnya telah hilang disebalik pintu dan tidak lama kemudian kembali dengan satu kotak peti kecemasan yang memang disimpan dibiliknya sendiri.

"A'ah, bertumbuk, bertumbuk dengan pintu grill dekat bawah tu. Ada ke patut dia nak pecahkan manga yang punya besar dekat bawah tu dengan tangan dia ni," rungut Hanis. Hanis kemudian membuka peti kecemasan dan kemudian membasuh luka pada tangan Amirul. Sesekali kedengaran suara kecil Amirul berdesis sakit.

"Aduh..., sakit la Nis... Kau ni dah jadi mak orang pun kasar tu tak hilang kan...arhhhhhhh...," Amirul tiba-tiba menjerit. Sambil mengetap bibir, kelihatan Hanis mengenggam luka di tangan Amirul dengan kuat.

"Padan muka kau, aku dah kata tunggu aku tak nak dengar. Kalau tangan tu ada kuasa Super Hero aku tak kisah sangat... ini cermin tu tak retak, tangan kau pula yang berlumuran darah," rungut Hanis. Geram yang ditahan sedari tadi kini diluahkan seperti lava gunung berapi yang meletus. 'Hah, kata jantan. Baru tekan sikit luka dah menjerit macam pondan. Nasib kau la, aku nak berhentikan darah ni dulu,' desis hati Hanis. Amirul mengengam penumbuk, cuba menahan pedih yang sudah menjalar hebat di tangannya.

"Nak buat macam mana, risau punya pasal, tak sedar," gumam Amirul perlahan sambil sesekali berdesis menahan pedih. Hanis menggeleng perlahan, masih tidak percaya dengan apa yang dilihat tadi. Aisya mengukir senyuman lucu, cuba melenyapkan bayangan mimpi yang masih menganggu fikirannya ketika ini.

"Ala la dia... kesiannya abang Mirul ni risaukan kita ya?," Aisya ketawa, cuba menceriakan hatinya dan mereka di hadapannya. Geli hatinya melihat perangai Hanis yang merungut seperti budak kecil. Hanis menarik muka masam. Separuh fikiran Aisya gembira dengan kepulangan abangnya tetapi separuh lagi cuba melenyapkan mimpi yang merupakan memori lama yang tidak pernah padam.

Amirul menjeling kearah Aisya. Kata-kata adiknya dalam tidur tadi sesekali menganggu fikirannya lagi.

Aisya mengambil kole besi yang sudah berisi serbuk teh yang telah direbus dahulu sehingga pekat warnanya lalu ditapis masuk ke dalam cawan mug kegemaran Amirul jika datang singgah ke rumahnya di Kuala Lumpur. Lalu di campurkan tiga sudu susu pekat dan dikacaunya sehingga sebati. Selepas berpuas hati dengan rasa teh tarik yang dibuat, Aisya berlalu ke ruang tamu untuk dihidangkan kepada abangnya yang sedang menunggu dengan sabar.

Amirul memang penggemar teh tarik, tetapi tidak suka minum di kedai mamak ataupun di kedai makan kerana rasanya yang kurang kena pada seleranya. Hari ini sudah genap dua bulan Amirul tidak balik ke Malaysia bermakna dua bulan jugalah abangnya ini berpuasa minum teh tarik. Padahal dia sangat gemarkan air itu. Tidak sedap lah, kurang susu lah, kurang kelat teh lah, semuanya kurang kena dengan seleranya. Aisya dan ibu mereka hanya ketawa saja apabila mendengar rangkaian alasan abangnya itu. Sudahnya, memang dia dan ibu merekalah yang selalu jadi mangsa untuk membuat teh tarik kegemarannya.

"Minum bang...," jemput Aisya setelah meletakkan minuman di atas meja di hadapan abangnya. Amirul tersenyum gembira apabila minuman kegemarannya sudah sedia terhidang di hadapan mata. Adiknya ini memang faham benar akan tabiat dia walau tanpa diminta. 'sedapnya bau teh..,' desis hati Amirul. Dua bulan di luar negara, membuatkan dia sangat menghargai air kegemaran dia ini.

"Ni bila abang nak balik ke kampung ni?" tanya Aisya setelah abangnya hanya membisu menghayati minuman dengan senyuman.

"Eh buat apa?, diorang kata nak datang ke sini esok jadi kita tunggu sajalah mereka sampai...," kata Amirul masih asyik menghayati minuman kegemarannya nya itu. Aisya mengangguk seketika. Dia sebenarnya sudah mengagak yang ibu bapanya akan datang ke sini sendiri kerana itu lah yang selalu mereka lakukan jika Amirul pulang ke Malaysia. Mahu datang melihat anak-anak katanya sambil berjalan-jalan di sekitar bandaraya Kuala Lumpur memandangkan abangnya ini sedang bercuti.

"Erm... abang ingat nak tidur rumah Aisya malam ni boleh?, renovation dekat umah abang baru siap, dan esok baru orang datang kemas...," tanya Amirul secara tiba-tiba membuatkan Aisya tersedar dari lamunan. Aisya tersenyum kecil.

"Bertuah sungguh abang aku sorang ni, semua bayar orang untuk buat. Macam la Aisya tak boleh nak tolong kemas-kemaskan rumah tu untuk abang," rungut Aisya. Amirul ketawa kecil.

"Abang malas nak susahkan Aisya, lagipun Hanis dah tolong uruskan semua sebelum abang balik," kata Amirul. Air di tangan kembali dihirup seteguk.

"Jadi, boleh tak?," tanya Amirul lagi minta persetujuan. Aisya tersenyum, pantas mengangguk bersetuju kerana dia juga perlukan teman di rumah, entah kenapa sejak dari peristiwa dulu dia tidak boleh duduk dalam gelap berseorangan. Sebelum ini, dia mempunyai pembantu rumah tetapi sudah berhenti bulan lepas kerana ingin pulang ke kampung.

"Duduk saja la abang, bilik pun ada kosong. Kalau abang nak pakai kereta, esok pagi abang hantar Aisya pergi butik dulu dan bila Aisya nak balik nanti Aisya call," kata Aisya. Amirul yang hanya tersengih, segera mengangguk terus bersetuju dengan cadangan adiknya yang memang sudah dia rangkakan dalam fikiran. Tidak sangka adiknya sudah usulkannya dahulu. 'Well, kata adik beradik kan,' desis hati Amirul.

"Kenapa ni?, apa yang abang fikirkan dari tadi?," tanya Aisya. Dia tahu ada perkara yang mengganggu fikiran abangnya ini. Amirul menarik nafas perlahan, sesungguhnya niatnya balik selain dari bercuti, dia punya niat lain. Niat untuk mengembalikan semangat dan keceriaan adiknya yang hilang dahulu.

"Abang ingat nak bawak Aisya, mak dan Abah pergi Umrah. Abah dan mak dah tahu dan mereka pun dah setuju...Aisya?," tanya Amirul. Dia mahukan persetujuan Aisya untuk pergi bersama kerana rancangan ini dibuat untuk adiknya ini. Supaya Aisya dapat menenangkan diri dan semoga ibadah umrah ini dapat kembalikan semangat Aisya.

Aisya terdiam seketika, rancangan yang diusulkan secara tiba-tiba ini sukar untuk dia menolak atau terima. Banyak perkara yang perlu dia fikirkan dahulu terutamanya adalah macam mana dia nak minta cuti lagi setelah baru sehari dia kembali bekerja dari bercuti panjang. Amirul memandang Aisya seketika, cuba meyakinkan adiknya ini.

"Aisya cuma perlu sediakan passport dan duit belanja Aisya saja di sana, yang lain semua abang tanggung...," kata Amirul memberi keyakinan. Dahi Aisya berkerut seribu.

"Betul ni?," tanya Aisya meminta kepastian. Suaranya kedengaran ragu-ragu. Dia sendiri maklum pakej Umrah untuk seorang bukannya murah harganya. 'Menarik..' desis hati Aisya.

"Pakej Umrah semua abang tanggung?," tanya Aisya sekali lagi. Amirul mengangguk dengan bersungguh-sunguh sambil tersenyum.

"Aisya cuma sediakan passport dan kelengkapan untuk pergi ke sana yang lain InsyaAllah abang akan settle kan...," kata Amirul memberi jaminan.

"Bila?," tanya Aisya ringkas. Kesungguhan abangnya tidak sampai hati pula untuk ditolak tepi, dan memang impiannya juga untuk pergi membuat Umrah dan Haji di Tanah Suci.

"Abang rancang bulan depan, supaya tidak tergesa-gesa sangat. Jadi kita ada masa sebulan untuk buat persediaan dan menghadiri kursus...," terang Amirul ringkas. Aisya tersenyum apabila sesuatu tiba-tiba melintas di fikirannya.

"Jadi sebab ini lah abang tiba-tiba balik awal...?," Aisya cuba meneka. Amirul ketawa kecil lalu mengelengkan kepala bagi menafikan telahan adiknya.

"Tak adalah, balik awal ni cuma kebetulan... kerja abang di Dubai habis dua minggu lebih awal...," kata Amirul. Aisya hanya mengangguk.

"Lepas abang puas jalan-jalan dekat sana baru abang balik sini...," kata Amirul tersenyum nakal.

"Ingatkan sampai Malaysia ada la orang meraikan kepulangan abang, sekali kena balik naik Grab da...tiada siapa yang sudi nak ambil di Airport...," sambung Amirul lalu mengeluh. Aisya ketawa kecil.

"Itulah...lain kali nak berjalan ajak mak dengan abah sekali...jangan nak berjalan seorang diri saja...paling kurang pun bawa Aisya ni ha, adik ada seorang ni pun nak berkira...," sengaja Aisya saja mahu mengenakan abangnya.

"Abang pergi Dubai tu bukan bercuti ya, ada kerja... abang cuma manfaatkan keluangan masa yang ada...," kata Amirul. Amirul memandang Aisya seperti menanti akan sesuatu.

"Jadi... macam mana?" tanya Amirul lagi membuatkan Aisya terpinga. Seketika kemudian, Amirul mencapai bantal kecil di tepinya dan dibaling pada Aisya. Tersentak Aisya apabila kepalanya dihadiahkan bantal, nasib bantal saja.

"Padan muka..., berangan lagi...orang tanya pasal Umrah ni...adik entah berangan ke mana...," rungut Amirul. Geram bila adiknya kini banyak sangat mengelamun, entah apa yang difikirkannya.

"Tak... Aisya tak tahu... nantilah Aisya tanya Kak Hanis dulu macam mana...," kata Aisya. Dia sebenarnya masih tak pasti jika dia berkelapangan untuk bersetuju. Di butik banyak kerja yang bertangguh akibat cutinya sebelum ini.

"Hanis dah tau, cuma tak tahu lagi adik setuju ke tidak lagi...," kata Amirul ringkas. Aisya hanya membisu, ternyata abangnya lagi pantas membuat rancangan daripadanya.


My Wattpad Stories

 Assalammualaikum, 

Aku tak tahulah masih ada ke orang yang sudi baca post di sini?, 

rasa macam sunyi ja 😅

Cuma aku saja ja la,

masih post di sini dengan anggapan positif yang masih ada yang membaca,

tak ada pun tak apa, 

biarkan aku bersama angan-angan aku😜

sebab blog ni macam kepingan memori hidup aku sedari usia 18 tahun?

tak silap la aku mula buka blog ni masa umur 18 tahun...😎

dan tiada satu post pun yang aku padam,

walaupun aku rasa macam...

'ehhh, kau dah kenapa post benda ni?, 

kenapa ayat kau macam ni?,

 malunya, kau dah kenapa oii'

eh ada kot satu, dua macam tu yang aku padam,

yang lain masih di sini,

dan sesekali aku akan baca bagi menggamit memori silam,

rindu woiii😭

Aku sekarang sedang usahakan untuk memberikan bab penamat pada tulisan-tulisan yang bertangguh,

banyak sebenarnya,

 ada lebih kurang 3 cerita? atau lebih?

dan semuanya tiada penamat,

tergantung, sepi bertahun-tahun...

sebab idea block.

Padahal aku ada ja sinopsis yang aku dah buat untuk tahu hujung pangkal cerita,

nota tentang watak dan perwatakkan,

tapi masih... begitu kesudahannya

Isu besar aku semenjak diploma dulu,

sehingga aku pernah isukan pada lecturer aku sendiri yang juga merupakan penulis novel,

tapi tu lah tu, masih tiada ubatnya. 

sehinggalah akhir tahun lepas aku pergi Umrah, 

entah mana datang ilhamnya, 

antara doa aku depan Kaabah ialah

aku nak siapkan NOVEL aku,

dan menulis di wattpad zuezue antara usaha aku untuk memberikan penamat pada setiap cerita,





(Still ongoing)


(teaser)


(forever ongoing😅)




walaupun reader nya suam-suam kuku, 

eh tak!, 

SEJUK terus reader dia😞

tapi tak apa, saya sejenis Redha😝

asalkan adalah usaha tu walaupun hasilnya, 

gitulah... 

dan aku letakkan di sini juga, tak semua bab tapi adalah sikit,

sebagai salah satu memori aku menulis,

kerana blog ni dah macam diari aku sedari aku belajar lagi,

kalau aku rindu zaman aku bebas menulis dulu,

 aku akan baca di sini,

sekarang aku menulis tidak sebebas dulu,

entah la,

selari dengan usia dan kematangan kot, 

uishhh, 

tua bebenor gayanya😂

tak... tak... saya masih muda belia,

cuma otak saja dah tua, 

gitulah kehidupan..



xxx_zuezue