Isnin, 6 November 2023

Adam Aisya : Bab 5



GELAP, sekelilingnya gelap gelita tanpa sekelumit cahaya. Aisya yakin kini matanya luas terbuka tetapi seperti dia masih lagi tidak membuka matanya. Terlalu gelap, hitam tanpa bayang-bayang. Satu sudut mindanya cuba menidakkan tetapi tempat ini terlalu banyak persamaanya. Aisya cuba bergerak ke sisi kiri mencari sedikit cahaya untuk dia bergantung harap tetapi tangannya sudah dapat merasa permukaan dinding yang sejuk dan berhabuk. Tangan kanannya pula mula digerakkan, dengan tergesa-gesa cuba menarik badannya ke sisi kanan berharap ada laluan ke arah cahaya yang dicari tetapi tidak berapa ketika, tangan kanannya sudah mencapai kesejukkan dinding. Tahulah Aisya ruang ini sangat kecil, cukup untuk memuatkan dua orang yang badan sebesar dirinya.

Aisya perlahan-lahan memeluk lututnya, mencari sumber kekuatan dalam diri walaupun badannya mula terasa kesejukkan yang terlampau. Ruangan kecil ini jelas terlalu sejuk untuk dia bertahan sehingga giginya mula mengeluarkan bunyi yang pelik akibat menggigil. Dadanya tiba-tiba terasa seperti terhimpap batu, sesak, sukar buat dia bernafas dengan betul. Beberapa kali dia cuba menarik nafas panjang supaya dadanya yang sesak beransur lega tetapi usahanya sia-sia. Aisya mula mendepakan tangan, kedua tangannya menyentuh permukaan dinding yang kesejukkan. Telapak kakinya juga dihalakan ke lantai. Dia cuba mengawal diri, mengawal perasaan takut yang ada. Dahinya tanpa sedar mula mengeluarkan peluh walaupun badannya kesejukkan. Ruangan kecil ini benar-benar melemaskan dirinya, Aisya menarik nafas lagi walaupun bau disekelilingnya kurang menyenangkan. Dia masih berusaha mengembalikan dirinya yang sebenar. Dalam kegelapan malam, tiba-tiba satu suara lelaki muncul menyedarkan Aisya. Menyedarkan Aisya dari ketakutannya. Menyelamatkan dia dari hasat dengki syaitan yang bertopengkan manusia.

"Aisya...Aisya..." panggil Amirul. Suaranya yang perlahan makin dikuatkan. Ya itu suara Amirul, abangnya. Pada abangnya, dia bergantung harap untuk menyelamatkan dia dari kegelapan ini. Dia takut, sangat takut.

"Aisya...bangun Aisya...," panggil Amirul lantang. Jarang dia mendengar abangnya menjerit namanya seperti itu. Suara Amirul kini semakin mendesak, seolah-olah Aisya yang sebenarnya dalam bahaya. Aisya masih mendiamkan diri, cuba memahami situasi sekarang, 'bangun?' Aisya tertanya-tanya.

"Aisya...," jerit Amirul lagi. Kali ini seperti merayu. Badannya terasa digoyang-goyangkan. Aisya terkejut, segera buka mata dan duduk di katilnya.

Nafasnya laju seperti baru lepas berlari cuba dikawal. Matanya terus terarah pada Amirul disisinya. Tubuh itu dipeluk, kemas seperti tidak mahu dilepaskan. Amirul hanya kaku, tidak membalas pelukkan adiknya. Masih cuba mencerna situasi di hadapannya. Tidak pernah Aisya memeluk dia seperti ini dengan wajah yang sepucat ini. Aisya menangis semahunya, dia takut. Dia takut untuk kembali dalam bilik gelap itu. Terhinggut-hinggut tubuh Aisya meluahkan rasa melalui tangisannya. Dengan perlahan Amirul mengusap belakang badan adiknya, dia mahu adiknya melepaskan perasaan yang sudah lama tersimpan kemas berseorangan. Betullah kata mak yang Aisya sering meracau dan menangis dalam tidur.

Lama mereka berkeadaan begitu, Aisya melepaskan tangisannya. Amirul masih kaku di tempat duduknya sehingga Aisya senyap sendiri. Entah kenapa keadaan mereka mengembalikan memori Amirul ke zaman mereka masih kecil. Begitulah mereka, seorang suka menangis dan seorang kaku tidak reti memujuk. Sudahnya dia hanya diam, menunggu adiknya senyap sendiri dan tertidur dalam pelukkannya. Ada air mata yang cuba ditahan. Sepanjang tiga tahun ketiadaannya, adiknya banyak menanggung derita sendiri.

Jam sudahpun menunjukkan pukul lapan, Amirul yang sedang memasak nasi goreng di dapur terkejut apabila Aisya muncul di hadapannya dengan wajah ceria. Entah kenapa Amirul tahu adiknya hanya buat-buat ceria, disebalik wajah yang disolek cantik, ada wajah pucat yang cuba diselindungi.

"Abang masak apa tu...? sedapnya bau...," tanya Aisya sambil tangannya mengangkat tudung salji di atas meja. Terhidang kuih karipap yang sudah siap digoreng, pasti abangnya menggoreng karipap sardin sejuk beku yang sekian lama tersimpan dalam petinya. Kalau diingatkan semula rasanya itu kuih ibunya kirim dari kampung semasa dia balik hari tu. Ibunya sejak pencen ini memang suka membuat kuih-muih sejuk beku memandangkan ayah mereka tidak gemar makan di luar.

Amirul yang sedang mengacau nasi gorengnya hanya mendiamkan diri, suara ceria adiknya langsung tidak diendahkan. Tiada senyuman mahupun jawapan kepada pertanyaan Aisya. Aisya tersenyum kecil. Dia tahu abangnya risau selepas melihat sendiri keadaan dirinya malam tadi. Dia tahu Amirul mahukan jawapan kepada pertanyaan dalam mindanya tapi dia sengaja buat-buat tidak tahu. Lantas dia berjalan mendekati rak dapurnya, tangannya mencapai kole di rak cawan untuk dibancuhkan teh tarik, mungkin air kegemaran abangnya ini dapat menyejuk hatinya yang marah. Amirul mengeluh. Setelah menghidangkan nasi goreng di atas meja, Amirul memjeling pada Aisya.

"Adik...," panggil Amirul, sambil tangannya menepuk kerusi di sebelahnya untuk mengajak adiknya makan bersama. Aisya tersenyum kecil, dia tahu banyak perkara yang menganggu fikiran abangnya sehingga menjadi pendiam sebegitu rupa. Seorang tidak tahu bagaimana memulakan cerita, seorang hanya menanti diri dihakimi penuh derita. Mereka berdua akhirnya bersarapan tanpa bicara beberapa ketika. Aisya berjalan perlahan, punggung nya dilabuhkan di kerusi sebelah abangnya.

"Abang ingat, abang nak duduk sini dulu," Amirul memulakan perbualan, Aisya tergamam. Dia menjeling abangnya, menanti dengan penuh sabar. Dia tahu abangnya bimbang apabila melihat sendiri keadaannya malam tadi.

"Semua bil abang tanggung termasuk barang dapur...," sambung Amirul lagi sambil mengangkat kening masih menanti persetujuan adiknya yang bertindak mendiamkan diri sedari tadi. Aisya melakar sesuatu atas meja, buat-buat tengah berfikir walau sebenarnya dia sudah ada jawapan lagi pula rumah abangnya masih dalam proses ubah suai, mana mungkin abangnya selesa untuk duduk di rumah sendiri.

"Ermm... cuma kereta saja abang pakai adik punya dulu, tapi don't worry abang jadi driver adik, ke mana adik nak pergi abang hantar...," Amirul menggaru kepala yang tidak gatal, diam Aisya kadang sukar dijangka. Maunya Aisya tidak membenarkan dia duduk di rumah ni, memang ke hotel lah tempat dia bermalam untuk beberapa bulan ni. Hotel? ke sewa rumah?, dia masih tidak memikirkannya lagi. Tapi sebolehnya dia mahu menyusahkan adik sendiri, apa guna ada adik. Amirul sudah gelak jahat dalam hati.

"Kalau banyak sangat duit abang tu, apa kata abang book saja hotel kan lebih selesa...," kata Aisya geram. Amirul sudah ketawa, bukan kerana lucu tapi kerana adiknya seolah sudah dapat meneka pilihan seterusnya yang ada.

Aisya menjeling, tahu la dapat elaun beribu pun lepas projek nya diluar negara itu berjaya, berbaloilah dengan tiga tahun lebih berjauhan dari keluarga. Aisya hanya mengeluh, tahu bahawa keputusan abangnya itu sukar untuk diubah tetapi dia tetap teragak-agak untuk bersetuju. Dia tidak kisah mengenai keretanya itu tapi peristiwa malam tadi benar-benar buat dia berfikir dengan kemungkinan yang ada. Selama ini, sedaya upaya dia berlagak biasa depan ahli keluarganya tapi dengan adanya Amirul di rumahnya bakal membongkarkan rahsia keadaan dirinya.

"Mengeluh Aisya tu tanda setuju...Yes!," sorak Amirul bersahaja, lebih kepada memberikan tanda noktah kepada perbincangan mereka. Aisya mengangkat kening.

"Sejak bila mengeluh tu tanda setuju ?," tanya Aisya dalam tawa, suka hati saja menetapkan maksud dalam tindak tanduknya. Dia tidak pernah kesah langsung Amirul akan duduk bersamanya, dalam keadaan sekarang ini dia akui dia memang memerlukan teman serumah. Amirul tiba-tiba berdiri.

"Mari kita memulakan perjalanan Tuan Puteri...," kata Amirul, saja mengajuk lakonan yang selalu ditontonnya di televisyen. Badannya ditundukkan sedikit tanda memberi hormat. Aisya mengetap bibir, geram melihat tingkah laku abangnya yang saja mengenakannya. Lantak lah, berbanding dengan orang luar dia lebih rela abangnya ada di sisinya. Tahu sakit perit diri melawan dan mengubati luka lalu yang ditinggalkan.



p/s : Adam Aisya already complete dekat wattpad... boleh baca dan bagi review ya, lepas ni aku akan kembali utk Sebahagian Aku pula yang membawa genre yang total opposite dengan Adam Aisya. Bila release aku tak tau, not to rush sebab tengah prepare material sebelum mula menulis. 

Macam biasa rangka dah ada, sesetengah bab dah pun ditulis tapi tu la tu, masih ada yang kurang hah!