Khamis, 7 September 2023

Adam Aisya : Bab 2

 



Suara jeritan Aisya tiba-tiba memecah kesunyian malam di dalam rumah Sulaiman dan Saleha. Mereka yang terkejut terus bangkit dan berlari ke bilik Aisya dengan tergesa-gesa, bimbang akan keadaan anaknya yang mungkin dalam kesusahan atau kesakitan. Melihat Aisya yang masih menutup mata dan telah mengeluarkan kata-kata yang tidak pasti butir bicaranya.

"Aisya bangun... bangun nak...Aisya mengigau ni...," Saleha memanggil Aisya sedikit kuat lantas digerakkan bahu Aisya supaya anaknya itu sedar dari mimpi yang menganggu tidur. Tidak sampai beberapa minit Aisya terjaga.

"Astarfirullah Hal Azim...," mengucap panjang Aisya seketika lalu menarik nafas. Diusap mukanya berkali-kali supaya ingatan pada mimpi ngerinya tadi hilang. Dipandang muka kedua orang tuanya yang sedang gusar, Aisya mula tertanya-tanya.

"Kenapa mak dan abah ada kat sini...?," tanya Aisya. Sulaiman mengeluh perlahan, risau hatinya semakin memuncak.

"Kamu mimpi tadi... menjerit. Abah ingat kamu kena sampuk dah tadi...," rungut Sulaiman yang kemudian mengurut-urut dadanya. Dia duduk di tepi katil Aisya. Lemah kakinya kerana sudah lama dia tidak berlari sekuat ini. Aisya meraut muka, dalam hati masih memujuk diri sendiri, apa yang dilalui tadi hanya mimpi masa lampau yang dia sangat takuti.

"Kamu mimpi apa Aisya?, risau mak dibuatnya... mak ingatkan mimpi buruk kamu ni dah baik...," Saleha mengusap belakang badan satu-satunya anak perempuannya ini. Air matanya hampir menitis tapi cuba ditahannya, dia risau tetapi dia tidak mahu merunsingkan lagi fikiran anaknya ini yang sudah menanggung pelbagai duka yang tidak dapat diungkapkan. Walaupun dadanya masih tidak mahu reda, Aisya cuba mengukir senyuman untuk menghakis rasa risau di hati ibu bapanya ini.

"Tak ada apalah mak, mungkin Aisya penat sangat kot siang tadi... buat mak dan abah risau ja...," perlahan suara Aisya, cuba diukirkan senyuman sambil mengusap tangan ibunya. Aisya kembali tidur tanpa memperdulikan ibu bapa lagi.

Saleha memandang Sulaiman seketika, fikirannya diluahkan melalui pandangan mata itu. Dalam diam Sulaiman menggeleng penuh gundah, sesekali dengar keluhan mula keluar dari mulut tua itu. Sikap anaknya ini mula merisaukan mereka suami isteri. Sulaiman menarik selimut menutupi tubuh satu-satu anak perempuannya itu lalu dengan perlahan bangun untuk keluar daripada bilik. Sempat bahu isterinya diusap perlahan, cuba menenangkan hati isterinya walaupun diri sendiri ternyata risau bukan kepalang. Seketika kemudian Saleha juga beransur meninggalkan Aisya.

Setelah mendengar tapak kaki ibu bapanya makin menjauh, Aisya membuka mata. Mimpi tadi terlalu nyata hingga tubuhnya masih menggigil apabila teringat akannya. Air mata yang sebolehnya ditahan untuk tumpah dihadapan ibubapanya akhirnya menitis tanpa dapat dikawal lagi. Sukar untuk dia lari dari kenangan itu, kenangan yang telah mematikan separuh jiwanya yang dulu. Perlahan Aisya berzikir dalam hati, mengharap kesedihan ini dapat disembunyikan di pagi hari nanti, dia tidak mahu ibubapanya menjadi saksi kesedihan ini.

Usai saja solat subuh, Aisya keluar dari biliknya ke dapur. Bau nasi lemak kukus air tangan ibunya menghiasi seluruh rumah menyebabkan dia segera lapar. Dia tersenyum, tidak sabar dia ingin menjamah nasi lemak kukus air tangan ibunya. Aisya melihat ke dalam tudung saji, bibirnya tersenyum akan kehebatan ibunya menyediakan sarapan pagi yang pelbagai. Saleha memandang Aisya.

"Hah... bangun dah, mak ingat kamu nak sambung tidur balik. Tak ada lah mak nak kejut kamu...," kata Saleha, tangannya masih menyiapkan bancuhan air kopi buat suaminya. Aisya hanya senyum.

"Mak jugak yang bising karang kalau Aisya bangun lambat...," kata Aisya bersahaja. Saleha menjeling pada anak perempuannya itu. Aisya hanya tersenyum sambil kakinya melangkah mengambil pinggan di rak. Ayahnya pasti akan pulang ke rumah tak lama lagi dari masjid.

"Mak tak sampai hati nak kejut kamu bangun awal, kamu nampak penat sangat. Banyak sangat ke kerja kamu sampai habis cengkung muka anak mak ni?," tanya Saleha, ada kegusaran dalam hatinya.

"Tak ada la mak, biasa ja...," kata Aisya bersahaja. Saleha merenung muka anaknya, pelbagai perasaan yang tersimpan mahu diluahkan tetapi dia tidak tahu bagaimana. Walaupun tidak melihat, Aisya tau ibunya sedang merenungnya. Aisya saja tidak melihat kembali kerana tahu apa yang ada di fikiran wanita itu.

"Cakap saja la mak, apa yang mak fikirkan, tak payah nak main tenung-tenung muka Aisya ni...dah macam nak tembus dah muka Aisya ni mak tenung...," kata Aisya bersahaja. Tangannya berhati-hati menuangkan air di setiap cawan yang ada di atas meja.

"Dah dekat tiga tahun dah kau menjanda Aisya... Kau tak nak kahwin?" tanya Saleha lembut, ada kerisauan dalam nada suaranya.

Aisya yang sedang mengunyah kuih hanya melihat kuih yang dipegang. Tiada reaksi di wajahnya, hanya pandangan kosong yang dihalakan pada kuih yang dipegang.

"haih... Budak ni.... Mak tanya ni, boleh dipandang nya kuih tu saja...," mengeluh Saleha akan anaknya. Aisya tersenyum.

"Entah lah mak, sapa lah yang nak kan janda macam Aisya ni mak...," bicara Aisya perlahan. Saleha membuat muka muncung. Aisya cuba menahan tawa. Tiba-tiba suara ketawa Sulaiman menghiasi ruang dapur itu mengejutkan Aisya dan Saleha, geli hatinya bila mendengar jawapan yang sama disediakan anak perempuannya ini setiap kali isterinya bertanyakan perihal berumah tangga. Yang peliknya, jawapan itu tidak pernah berubah dari anak dara, sehingga kini sudah bergelar janda, cuma gelaran diri saja yang berubah.

"Apa kata kamu rekod saja jawapan kamu tu Aisya, hantarkan pada telifon mak kamu tu... Biar dia dengar hari-hari, ayah pun tak payah la nak jawab bagi pihak kamu...," Sampuk Sulaiman, ayah Aisya dari pintu belakang.

Perlahan langkahnya diatur duduk di kerusi kosong sebelah Aisya. Senyum nakal diukir buat Saleha. Aisya ketawa kecil dan disambut Sulaiman. Suka benar dua beranak ini mengenakan Saleha. Saleha menjeling keduanya, lagi membuatkan kedua beranak itu ketawa besar.

"Ish... Dua beranak ni la...," rungut Saleha perlahan. Mukanya mencuka.

"Biarkan aja lah Aisya ni Leha... Dia sudah besar panjang, pelajaran pun ada, kerja pun Alhamdulillah sudah ada... Pandai la dia jaga diri...ada jodoh tak payah ditanya, kahwin la dia...," bebel Sulaiman panjang lebar setelah berjaya ditelan gelak tawanya tadi.

"Saya ni bukan apa bang... Dah banyak orang mengata, kata anak kita ni bukan-bukan, anak bujang banyak yang datang meminang semua ditolaknya dah tu menuduh anak kita inginkan suami mereka pulak...," rungut Saleha. Sakit hatinya mendengar orang-orang kampung mengata Aisya di depannya secara terang-terangan tanpa rasa bersalah.

"Ala mak... Esok Aisya nak balik dah... Diam la mereka mak...," kata Aisya dengan senyuman.

Dia sudah masak dengan perangai orang kampung yang suka mengata perihal dirinya apabila nampak dia pulang ke kampung. Dituduhnya ingin merampas suami orang sedangkan dia balik ke kampung untuk merehatkan minda dari kesibukan kota dan melepaskan rindu dengan kedua orang tuanya. Membutang mata Saleha memandang anak perempuannya itu.

"Eh... Nak balik dah esok?, cepatnya...," rungut Saleha, muncungnya kembali terbit tanpa dipaksa.

"Lah... Mak juga yang kata tadi tak larat nak dengar orang kampung mengata Aisya kan?, jadi Aisya kena balik KL la supaya mak boleh rehatkan telinga mak dari dengar orang kampung ni mengata...," kata Aisya lembut, saja ingin menguji emaknya. Berubah reaksi muka Saleha. Sedih pula hati Aisya melihat ibunya yang seperti serba salah.

"Tak adalah mak, Aisya gurau saja. Mak ni...," dipeluk pingang Saleha lembut, tiada niat untuk dia terasa dengan mak dia yang satu ini.

"Aisya kena balik mak, Aisya bukannya boleh ambil cuti lama-lama sekarang. Banyak kerja tertangguh nanti..," tiba-tiba telifon bimbit Aisya berdering membuatkan Aisya berhenti memujuk ibunya. Telifon bimbitnya dipandang tenang, kemudian dia tersenyum seketika.

'Baru ja bercakap, bos dah telifon..,' desis hati Aisya. Saleha memandang-mandang ke arah telifon bimbit Aisya yang berbunyi. Dirinya dalam diam tertanya-tanya siapa yang menghubungi anaknya itu.

"Tu sapa yang telifon tu?," tanya Saleha, ada curiga dalam nada suaranya. Aisya hanya tersenyum.

"Kak Hanis...," jawab Aisya perlahan. Aisya kemudian beredar masuk ke biliknya, membiarkan Saleha termanggu sendirian.



p/s : Di wattpad dah sampai bab 12, siapa yang sudi sila2 menjengah ke wattpad saya ya... 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan